13 January 2017

Throwback 2016 (Kehilangan)

Hampir setahun tak update blog. Ada je ni tengah kerja macam biasa. As usual, enty throwback 2016 mestilah kena ada awal tahun ni kan.

Sepanjang 2016, tak banyak perkara special berlaku tapi ada la satu dua. Tahun 2016 kiranya tahun yang kurang baik untuk kami sekeluarga. Kehilangan.

Dalam dua minggu sebelum Hari Raya, aku baru je kehilangan Pak Lang yang mana adik beradik yang paling rapat dengan arwah abah. It just a day after my birthday. Sangat terkejut sebab arwah Pak Lang tak ada sakit yang kritikal pun. Ajal.

Dua minggu selepas Hari Raya, 19 Julai 2016, Selasa. Ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ayah adalah atuk aku belah mak. Paling rapat dengan aku memandangkan aku cucu pertamanya, dari kecil aku tinggal dengan dia. Dia macam ayah aku sendiri walaupun pangkat atuk. Selalu berjenaka, selalu nasihat aku macam-macam. (alahai kenapa la air mata aku ni mengalir pulak, malu la kat ofis ni) Pagi-pagi Selasa mama call aku, aku pun belum bangun lagi. Ma memang duduk kampung dengan ayah dan mok. Aku dah tak sedap hati sebab ma call bukan masa yang biasa.

Ayah sakit ni, dari malam tadi lagi dia tak sedap badan. Tu pun dia terbaring je dalam bilik, tak larat nak bangun. (btw ayah memang ada sakit jantung)

Aku suruh ma call ambulans sebab ayah dah tak larat nak bangun. Mama suruh aku balik Temerloh pagi tu. Aku pun kemas barang tapi aku tak tahu kenapa aku ambil pakaian untuk dipakai jika ada kematian, aku ambil jubah. Tudung yang senang aku nak sarung.

Aku sampai Temerloh dalam pukul 9 pagi. Terus ke hospital. Sempat jumpa ayah sebelum ditidurkan untuk diberi bantuan penafasan menggunakan mesin. Ayah pandang aku tapi tak cakap apa-apa. Doktor bagitahu risiko. Salah satunya kematian. Aku dah tak dapat nak tahan air mata. Menangis sampai teresak-esak dalam bilik menunggu. Aku takut.

Sebelum ni, dalam bulan Mac ayah dah dimasukkan hospital dalam dua minggu. Waktu tu keadaan ayah paling lemah pernah aku tengok tetapi Alhamdullilah ayah sihat seperti sediakala bulan depannya dan diberi peluang untuk merasai Ramadhan yang terakhir tahun ini. Doktor ada mengingatkan jika tiada sebarang tindakan dibuat untuk penyakit jantung ayah tu, risiko yang lagi tinggi akan terjadi jika terkena serangan jantung sekali lagi. Tapi ayah tak pergi rawatan susulan dekat hospital besar. Hanya ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan biasa dan ambil ubat.

Sebab itu aku takut. Aku takut apa-apa yang lagi teruk jadi kat ayah. Selepas ayah ditidurkan, dibawa ke wad ccu. Aku balik rumah tengah hari tu, lagipun penjaga tak boleh stay dekat katil pesakit ccu. Petang tu masa aku bersiap nak ke hospital untuk waktu melawat petang, mama call (mama dan makngah yang tunggu dekat hospital)

Cepatlah datang, denyutan jantung ayah tak stabil ni.

Masa perjalan ke hospital, baru 5 minit keluar dari kawasan rumah. Mama call dan cakap..

Anis, ayah dah tak ada..

Aku letak telefon. Bagitahu cousins dan adik yang naik satu kereta dengan aku berita yang baru aku dapat. Serentak semua menangis tersedu-sedu. Aku yang tengah drive ni kena tahan diri sebab aku tak boleh nak ikutkan sangat perasaan, nanti jadi benda lain pula. Lagipun aku dah redha. Aku dah boleh jangka benda ni akan terjadi tapi aku tak sangka sepantas ini.

Aku tak sangka lambaian yang aku nampak masa balik daripada cuti hari raya tu adalah lambaian terakhir dari ayah. Ucapan selamat tinggal tu adalah selamat tinggal yang selamanya bagi aku. Allah. Kau tempatkan arwah ayah, Yusof Bin Zin dikalangan orang-orang yang beriman dan dikurniakan syurgaMu kelak.



Ok dahlah cerita pasal arwah ayah sebelum aku banjir kat ofis ni. Nanti orang ingat aku putus cinta lak menangis sorang-sorang. 

Wan aku (mak) lepas pemergian ayah, secara luarannya seperti kuat. Tetapi malam pertama lepas kehilangan ayah, aku teman mak tidur. Tengah tidur ni aku dengar orang menangis, rupanya wan aku. Ye la bayangkan orang yang hidup dengan kita hampir 60 tahun, tiba-tiba tiada 

Selepas tu wan aku cool je macam biasa. Makin giat berkebun kat kawasan rumah walaupun ditegah. Tebas semak, cabut rumput. Sehinggalah selepas Raya Haji, mak mengadu sakit kaki. Bawa mak ke klinik, doktor syak gaut dan bagi ubat seperti biasa. Makin hari makin teruk. Dari sakit yang tak nampak sampai jadi mengelembung seperti kena air panas. Bawa ke hospital tetapi disuruh balik katanya tiada apa-apa. Sehinggalah gelembung tu meletup dan berbau.

29 September, mak dibawa ke hospital. Kena tahan dan lukanya akibat kencing manis (mak memang ada kencing manis tapi masih rendah dan boleh dikawal). Luka dicuci dan perlu dibuang isi-isi yang sudah busuk. Kita tengok dari luar macam tiada apa-apa, rupanya ia makan dalam. Selepas berminggu-minggu ditahan wad tetapi lukanya tiada tanda nak sembuh.

14 Oktober, kaki kiri mak dipotong sehingga paras paha. Ikhtiar daripada doktor untuk menyelamatkan mak, takut kuman merebak dan membahayakan nyawa. Selepas kaki yang sakit dipotong, mak semakin pulih. Tapi daripada segi penjagaan diri perlu bantuan orang lain. Mak kena pakai pampers. Sekarang, makngah yang jaga mak. Alhamdullilah mak makin sihat tapi tak ada lah aktif macam dulu. 



Kiranya tahun 2016 adalah tahun yang penuh dugaan buat kami sekeluarga. Bermula dengan ayah sakit bulan Mac, kematian beberapa saudara mara yang rapat dalam bulan Ramadhan, kembalinya ayah ke Rahmatullah, mak sakit dan kehilangan sebelah kaki. In sha Allah, kami sekeluarga redha dan terima atas ujian yang ditimpakan ke atas kami. Mungkin ada hikmah yang lebih indah tersembunyi di sebalik semua ujian ini.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya"
( Al-Baqarah: 286)